Friday 26 October 2012

Kena Attack la pulak..haha

Assalamuailaikum w.b.t...

Alhamdulillah semalam sempat juga beraya dengan ahli keluarga dan sanak saudara,  dan malam sebelum hari raya kepala saya ini asyik fikir apa la jawapan yang nak bagi kali ni dan dah boleh agak siapa akan mula bertanya dan siapa yang akan bertanya. Kemudian selepas dari menunaikan solat hari raya dan selepas menukar baju, kami satu keluarga beraya terlebih dahulu sesama sendiri memohon maaf kepada abah dan mak. Raya kali ini hanya 3 orang ja anak anak yang dapat balik berhari raya. Adik kedua dan ketiga saya tak dapat balik disebabkan komitmen kerja. Untuk first time, lepas solat sunat hari raya, saya dah tukar pakai baju biasa disebabkan tahun ni tak ada baju melayu edisi raya. Waktu hari raya Aidilfitri saya bertugas di Tawau dan beli sehelai jubah saja. Jadinya lepas solat sunat hari raya saya terus tukar baju biasa.

Kemudian kami anak beranak pergi ke rumah pak ngah saya di Alor Star. Disebabkan tok dan Awa belah keluarga mak sudah meninggal dunia, jadinya setiap kali raya, memang selalunya adik beradik mak akan berkumpul di rumah pak ngah. Meriah jugak kali ni sebab boleh kata semua adik beradik mak ada. Masuk ja ke rumah semalam semua tegur "wah lamanya tak nampak ang Jo". Besala tu dah raya puasa tak balik memang la tak nampak. Tak sempat nak duduk waktu tengah bersalam terus kena attack dengan saudara mara. Antaranya "Jo, tahun depan bulan berapa?" , ""bila nak tumbang lembu ni?" , "bila kita semua nak buat rombongan ni" , "Nani dengan fikri dah nak sarung cincin, Jo bila lagi? mana boleh depa potong line" "Jo cepatla sikit, kami semua tak sabaq ni". haha macam-macam lagi la kena serangan sampai tak boleh nak lari. Nani tu saudara perempuan yang muda setahun, fikri pulak adik no dua. Pastu apa lagi, tak bagi jawapan banyak semalam, sengih ja dan cakap,  "nak kawin gena, tahun depan ja dah dua kenduri family kita, next tahun 2014 si aifa pulak nak kenduri, Jo tak da chance la nak menyelit. 

Memang jawapan tak serbaguna langsung tapi dah asyik kena attack maam tu sampai tak tau nak cakap apa lagi. Beasala tu, kena tanya macam-macam tu tandanya adik beradik saudara mara semua sayang tu. Untung depa ambik berat. Yang lagi best dari kecik sampai yang besaq dok attack dengan soalan yang sama. Kira semalam tu memang jadi topik utama perbincangan keluarga besar kami. Haha lawak pun ada. Semalam siap kena panggil duduk kat meja makan dan mak sedara mak sedara duduk keliling bertanya bab kahwin ni. Bukan taknak kawin, tapi dah try tapi tak berjaya nak wat gena, nak tengok org kawin pi la masuk minang anak dara sapa pun yang agama dan akhlaknya bagus, insyaallah org terima kalau semua dah sepakat. Tu dia jawapan yang keluar semalam dalam sengih-sengih dan muka yang merah sebab malu. Hahaha nak wat gena dah memamg betul kan. Lepas tu mula la kecoh hat ni la, kawan makcik ni la itu ini la, tapi time tu tak amik port dah, time tu lebih kepada perbincangan mak-mak sedara. Perbincangan ka? macam gosip kot haha.Hmm mungkin satu benda yang saudara mara lain tak tau tentang usaha diri sendiri. Bukan tak berusaha untuk mencari, berusaha tapi dah tak berjaya nak wat gena. Dari last year berusaha dan selalunya akan gagal bila masuk sesi berkenal-kenal dan "berkawan dulu". Sering kali hati merasa tak tenang dan tak dapat ketetapan hati.

Kadang-kadang bila hati dah pasti, orang belah sana pulak yang buat taktau, pastu kadang-kadang bila lepas kenal, sendiri ragu-ragu padahal orang sana pula yang macam tunjuk minat. Akhirnya memang sampai la ni tak berkomitmen. Mungkin sebab prinsip sendiri yang taknak ada ikatan apa-apa selagi orang itu bukan halal buat diri ni yang sebabkan kegagalan dan mungkin juga tak wujudnya perkataan sayang sepanjang proses berkenalan itu menyebabkan orang ragu-ragu. Boleh jadi yang paling romantik kot, dengan syarat dah halal buat saya. Kalau dah ada ikatan pertunangan tu, kira dah halfway la tu, bolehla tunjuk sikit kasih sayang tu. Tapi end of the story nya, Allah belum mengizinkan saya menjadi imam bagi seorang wanita bergelar isteri. Siapala muslim yang taknak mendirikan mahligai rumah tangga sekaligus melengkapkan separuh dari iman kan..Belum jodoh saya dan akan terus berusaha dalam mencari permaisuri hati. Insyaallah perancangan Allah itu lebih baik dari perancangan kita sebagai hambaNya. Tapi memang bestla bila berkumpul ramai-ramai satu family ni, macam-macam ragam dan karenah boleh tengok dan dari situlah lahirnya semangat kekeluargaan agar ikatan pertalian darah ini tidak terputus... oh last sekali, kalau ikut hukum berkahwin, tak sampai hukum wajib lagi ni. hehehe. 


Wednesday 24 October 2012

Ilmu

Assalamuailaikum w.b.t...

Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan oleh Ya Rabbi  untuk saya menulis lagi dekat blog ni. Hari ini satu lagi bantuan datang untuk saya, dari sumber yang tidak disangka, syukur kepada rahmatMu Ya Allah atas pertolongan yang diberikan. Sesunguhnya segala yang terjadi adalah di atas ketentuanMu. Milik Allah lah jua segala apa yang diberikan dan kita sebagai hambaNya haruslah bersyukur dengan segala nikmat dan ujian yang mendatang kepada diri kita. Jangan pula disebabkan ujian yang mendatang menyebabkan kita lalai dan mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan yang tidak akan berhenti dalam usaha untuk menyesatkan kita. Ujian yang datang dalam bentuk kesenangan dan kesusahan haruslah kita hadapi dengan tabah dan seharusnya dengan ujian ini mendekatkan lagi kita dengan Yang Maha Mencipta.

Dewasa ini juga kesedaran tentang Islam makin mendapat tempat di hati masyarakat dan golongan belia. Alahamdulillah dengan perkembangan positif ini. saya juga turut terkesan dengan perubahan dan kesedaran yang  dibawa oleh golongan-golongan yang memperjuangkan Islam agar kembali menjadi nadi dalam kehidupan seharian kita sebagai Muslim sejati. Semoga Allah memberkahi perjuangan ini dalam menegakkan syariatnya di dunia persinggaahan ini dan semoga Allah menetapkan hati kita atas landasan iman agar kita beroleh husnul khotimah di akhir hayat kita di dunia ini. Bukan mudah dalam menghadapi cabaran di zaman serba maju dan penuh dengan propaganda Yahudi ini.

Sekarang kita boleh melihat dan membaca status-status facebook dan twitter yang berkisar tentang Islam. Alhamdulillah si pemilik fb dan twitter tersebut ada kesedaran dan sama-sama berusaha dalam menyebarkan dakwah walaupun hanya retweet status orang lain yang berkisar tentang hadis dan amalan kebaikan. Namun sering kali saya mengingatkan diri sendiri agar mengkaji terlebih dahulu apa yang ditulis oleh orang-orang tersebut sama ada benar atau pun palsu. Trend semasa ini sesuatu yang bagus, namun kita haruslah mengkaji sendiri dan bertanyakan kepada orang yang lebih berilmu keran dikhuatiri kita memegang dan percaya kepada benda yang salah seperti hadis-hadis palsu yang diwujudkan hanya untuk menyenangkan dan menjaga kepentingan sesetengah pihak. Selalu mengajar diri sendiri agar mendapatkan pengesahan dari 3 sumber sebelum mengesahkan sesuatu benda tersebut teruatamanya yang melibatkan Islam. Kadang-kadang saya sendiri takut untuk meletakkan status yang berkaitan Islam sebelum mengkaji terlebih dahulu kerana dikhuatiri akan menjadi pegangan kepada golongan yang malas mengkaji. Marilah kita sama-sama mendalamai dan tidak berhenti dari belajar mengenai Islam. Cara yang palig mudah ialah dengan menghadiri kuliah-kuliah dan kelas pengajian di masjid yang selalunya akan diadakan selepas solat Maghrib. Semoga usaha kita akan mendapat keredhaan Allah. Segala pujian untuk Rasul junjungan kita Nabi Muhamad S.A.W. Andainya ada yang saya tersilap dalam menulis kali ini, saya mohon agar saya ditegur supaya saya dapat belajar dari kesilapan yang dilakukan. Insyallah.


Tuesday 23 October 2012

Terima kasih sahabat

Assalamuailaikum...

Wah tak lama lagi kita akan menyambut pula Hari Raya Aidiladha, tahniah kepada sesiapa yang dapat menunaikan ibadah korban tahun ini. Semoa Allah memberkahi kalian, sesungguhnya bukanlah korban tersebut yang ditagih, tetapi keikhlasan hati dalam melaksanakan ibadah tersebut. Alhamdulillah atas rezeki yang diberikan kepada kalian. Hari ini keadaan agak menyenangkan kepada saya, Alhamdulillah seorang sahabat sudi menghulurkan bantuan kepada saya dalam menyelesaikan masalah yang saya hadapi. Syukur kepada Allah kerana memberi bantuan melalui sahabat saya tersebut. Terasa ringan sedikit beban yang membelenggu diri ini.

Cuma kali ini saya rasa saya agak pelik. Yep, pelik dengan diri sendiri. Sedar ada beban yang dihadapi, namun dalam dua tiga minggu ini saya masih tersenyum. Entahlah, rasa macam ada sesuatu yang memujuk hati untuk tersenyum dalam hadapi keadaan ini. Alhamdulillah hari ni dah dapat diselesaikan.  Selalunya memang bukan habit untuk meminta bantuan dari orang lain, tapi tak tau la macam mana pagi tadi boleh terfikir tentang dia. Bila cakap ja, terus dia kata ok dan alhamdulillah saya tak buat satu lagi kesilapan dalam hidup saya sebentar tadi. Sepatutnya semalam saya buat tetapi terhalang sebab cuaca tak mengizinkan. Lepas tu nak buat la tengahari tadi, dah siapkan semua yang diperlukan, tetapi terlintas dalam hati untuk meminta bantuan dari sahabat saya tersebut.

Dan semalam juga, saya agak terharu dengan beliau sebabnya semalam satu badan saya sakit. Saya sendiri tak pasti sebabnya cuma lepas bangun dari tidur saya rasa macam ada satu batu besar diletakkan di belakang badan saya. Sakitnya memang sangat terasa dan membataskan pergerakan saya, namun saya tetap pergi kerja macam biasa dan setelah tamat masa bekerja dan selesai solat isyak saya terus terbaring di atas katil menahan sakit. Kebetulan semalam sahabat saya ini tumpang tidur di bilik saya dan bila melihat keadaan saya yang menahan sakit, beliau keluar ke kedai membelikan ubat dan menyapu di belakang badan saya bagi mengurangkan sakit tersebut.Alhamdulillah hari ni dah rasa ok sikit. Sungguh manusia ini sangat lemah, dan hanya kepada Allah lah tempat untuk kita mengadu. Dalam Menghadapi kesakitan semalam kebetulan sahabat saya ada untuk membantu saya, dan pagi tadi orang yang sama juga membantu menyelesaikan masalah saya yang saya simpan berminggu-minggu, Syukur kepada Allah dan semoga Allah memberkahi sahabat saya tersebut.

Saturday 20 October 2012

bola oh bola

Assalamuailaikum... 

Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi kesempatan untuk menaip lagi dalam alam maya ini. Semalam telah berlangsung perlawanan akhir Piala Malaysia. Melihat sambutan orang ramai di stadium, facebook dan twitter menunjukkan rakyat negara ini sudah kembali bersemangat untuk melihat perlawanan bola sepak yang terdiri dari pasukan tempatan. Namun dalam keghairahan menyokong pasukan yang diminati, ramai yang alpa atau buat-buat lupa dalam menjaga adab. Adab yang saya maksudkan disini ialah adab dalam perhubungan sesama insan. Lihat sajalah timeline di facebook semalam, penuh dengan kata-kata yang tak best. Yang penyokong si A kutuk pasukan si B, yang si B pula mengata pasukan si A. Pengadil dan penjaga garisan yang bersikap berkecuali dalam mengadili perlawanan semalam pun turut terkena makian dan kutukan penyokong kedua-dua pasukan. Jangan kata pengadil, yang jadi pengulas perlawanan semalam turut terkena.

Semangat itu bagus, menunjukkan kita sangat-sangat bersemangat dan kiranya die hard fan lah untuk pasukan kita. Namun cara itu salah. Di mana sikap harmoni yang patut dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia dan Muslim terutamanya? Ya, mugkin setengah akan berkata, adat la kalau kutuk mengutuk itu. Adat ye, tapi kalau dah adat tu salah, kenapa taknak tinggalkan? buka era baru dalam menyokong mana-mana pasukan bertanding lepas ni. Memang benda ini bunyinya sangat remeh, tapi dari remeh inilah akan menjadi kebiasaan. Janganlah disebabkan orang lain bersikap demikian, kita turut mengikut.    Kalau untuk perkara yang baik memang sangat digalakkan. Tapi semalam terfikir sekejap, untuk dua pasukan tu sahaja orang sikit punya ramai yang pergi tengok dan berkomen dalam fb dan twitter, kalaula semangat yang sama dapat diserlahkan kepada perjuangan menegakkan agama, hmm impak dia mesti sangat hebat kan.

Tuesday 16 October 2012

Ketenangan hidup

Assalamuailaikum...

Ketenangan hidup? ketenteraman hidup? dua ayat ni lebih kurang ja kan aksudnya. Hidup di zaman yang dipaggil zaman it dan teknologi, zaman berfesyen, Millenium era dan yang sama waktu dengannya memang mencabar. Mencabar bagi orang biasa macam saya yang tidak dilahirkan dalam limpahan wang ringgit dan emas. Ya hidup di dunia ini meman penuh dengan cabaran. Bila tersilap sikit ja terus jatuh tersungkur menyembah bumi. Keudiannya bergantung kepadadiri sendiri untuk bangun semula melawan ataupun terus menyembah bumi. Dalam keadaan sekarang yang penuh cabaran, tentu saja hati merasa gelisah apabila memikirkan masalah dunia, ya, kebanyakan manusia sekarang memang terlalu memikirkan masalah duniawi berbanding masalah akhirat iaitu keadaan di mana Baginda Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :


 'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.'
                                                                                                                               ( HR Abu Daud )

Besarnya kesalahan kita dan betapa kita telah mengecewakan Nabi S.A.W yang kita sayang dan sanjungi. Apabila kita terlalu memikirkan masalah duniawi dan cinta kepadanya kita sebenarnya makin menjarakkan diri dengan Yang Maha Mencipta. Ye mungkin kita masih lagi mengerjakan segala suruhan dan amalam yang diperintahkan, namun sejauh mana penghayatan kita dalam melakukannya? Sejauh mana keikhlasan kita dalam melakukannya? Mungkin tergerak di dalam hati kita "kalau aku kaya mesti tenang" . Benarkah begitu? tenangkah orang yang lebih kaya dan mampu membeli segalanya? tenangkah orag tersebut jika di depan rumahnya sahaja ada pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam semata-mata risaukan si pencuri yang mungkin masuk mencuri? 

Kunci ketenangan hanyalah satu dan kita semua memilikinya iaitu kembali kepada fitrah kehidupan. Semuanya telah diajar dan terkandung di dalam Islam. Kita diajar untuk menyeimbangkan kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Jika hati merasa resah dan gelisah, di saat diri dirasakan terlalu lemah untuk berdiri dalam menghadapi badai kehidupan, tenangkanlah hatimu dengan mendekatkan diri kepada Allah, bacalah dan fahami isi Al-Quran. Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada kawan-kawan, sama-samalah kita muhasabah diri, sama-samalah kita perbaiki hidup kita dalam meraih keredhaan Allah dan kasih sayang Baginda Rasulullah S.A.W.




Alamak!

Assalamuailaikum... 

Hmm banyak pulak la kepala ni berfikir-fikir... memang dah set kot kalau tengah baring-baring utk lena, otak mula la ligat untuk berpusing.. habis smua tempat dia explore pastu mulala tak boleh nak tido dengan tenang.. Mungkin sebab ni jugak kot penyebab masalah tido yang sy hadapi.

Saya ada satu habit yang rasanya macam bermula sejak dua tahun lepas iaitu setiap malam antara jam pukul 3 pg ke 4 pagi, badan akan automatik terjaga. Bila terjaga tu mesti cari apa saja untuk dimakan walaupun sekeping biskut merry dan lepas tu baru boleh sabung tido balik. kalau time esoknya cuti dan kalau time tu berjaya lawan nafsu yang syaitan bisikkan, dapatlah mengerjakan solat tahajjud dan baca Al-Quran sampai subuh, kalau tak berjaya tu memang sambung tido balik. Tapi habit ni sedikit sebanyak menggangu jadual harian di mana badan akan cepat letih keesokkan harinya disebabkan tido yang terganggu. Wahh ayat macam doktor pulak, tapi memang itu yang selalu dihadapi.

Entahlah tak tahu nak buat macam mana lagi untuk elakkan terjaga mengejut macam tu. Selalunya kalau siang tu badan betul-betul letih, malam tu konfom tido dengan aman. Tapi kadang-kadang je la menjadi. Selalunya tak menjadi pun. Yang best tu kalau malam tu tido lewat, contohnya tido pukul 1.30 pagi, dalam pukul 4 pg tu konfom terjaga balik..Hmm dah nak lekat penyakit insomnia kot..Mohon janganlah Allah tarik nikmat tido..Dan memang perasan pun, sekarang ni susah sangat dapat mimpi, dapat tu dapat, tapi macam jarang ja bermimpi ni..Oklah, kena stop dulu, kang malam ni tak dapat nak lena pulak...semoga Allah memberkahi kalian. Assalamuailaikum... 


Mencari .......

Assalamuailaikum...

haha ni memang saya dah takda keja dah ni, belek-belek jam tengok lagi sejam setengah lagi baru boleh balik dan abis kerja untuk hari ni. satgi dah masuk maghrib, jadi sementara tunggu maghrib bolehla merapu sat kat sini.  Hmm baru kejap tadi dapat lagi masej thru whatsapp dari kazen, suruh amik cuti siap-siap untuk hadir ke majlis tunang dia.. last hari raya ari tu dia punya kawan special datang rumah beraya dengan family pastu tup tup terus mak kepada kawan special dia tu merisik...jadinya bulan 12 ni baru buat majlis rasmi untuk bertunang..bestnye la bila balik dari Tawau hari tu dapat cerita ni.


Sepupu ni dah 26 tahun dah, memang kami saling sakat menyakat bab ni dan sebagai yg lagi berumur ni, konfem la kena tembak bertalu talu dengan soalan yang sama bila balik kg..jadinya bila dapat tau ja dia dirisik, memang terus bagi la kat dia "haa tengok sapa yang kawin dulu, masin an mulut bg jo ni" ..family dengan sedara mara memang panggil joe ja..yg muda panggil bang jo la..tadi masa dia suruh amik cuti tu, sempat jugakla terkena dua tiga soalan..macam besa, spalan standard, jawapan yang keluaq dari mulut pun standar la "belum rezeki dan jodoh lagi". Tumpang hepy untuk dia, tapi tipula kalau hati tak sedih.

Lelaki normal manakah yang tidak mempunyai keinginan untuk membina keluarga? jadi sebab saya pun normal, keinginan tu tetap ada dan makin membara kot lepas tengok kawan-kawan yang seangkatan ni dah dapat baby. Tapi itulah, jodoh,pertemuan,ajal dan maut itu semuanya di tangan Allah. Selalu berpesan dekat diri sendiri supaya tak menangisi segala yang terjadi dan kegagalan dalam mencari permaisuri di hati. Ini kerana semuanya sudah ditetapkan mengikut aturan Illahi. Sebagai muslim, seharusnya saya tak berhenti dari berusaha dalam mencari permaisuri yang akan menyinari hidup ini Insyaallah. dalam perhubungan sesama insan juga saya mempunyai prinsip hidup yang masih utuh saya pegang sehingga sekarang. Tak dinafikan pernah terlibat dalam cinta monyet sekali dan setelah perhubungan yang berakhir tahun 2007 itu saya memegang azam dan membina prinsip hidup iaitu tidak akan mengatakan cinta kepada orang yang belum sah menjadi tunangan dan seterusnya menjadi halal bagi diri ini. 

Dan mungkin sebab prinsip itu juga saya pernah terlewat dalam melamar orang yang saya rasa serasi dan berbalik kepada apa yang saya tulis sebelum ini, bukan jodoh saya dan segalanya sudah ditakdirkan. Insyaallah dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran ini, saya akan terus berusaha mencari permaisuri hidup dan dalam masa yang sama memperkukuhkan diri agar mampu untuk memikul tanggungjawab, membimbing dan mengetuai keluarga yang bakal dibina suatu hari nanti insyaAllah.








Wednesday 10 October 2012

Kolotkah?

Assalamuailaikum....

Hmm macam banyak pulak tengok perkataan melayu, kolot dan sewaktu dengannya kat Fb dan Twitter.  Kolot? Zaman memang dah maju, dan perkataan tu macam mudah ja cakap kat orang yang masih cuba mengamalkan tatatertib dan budaya masyarakat kita sejajar dengan kepentingan menjaga adab dan hukum-hukum Islam. Kalau ditegur sepasang kekasih yang sibuk berpeluk mesra terus mendapat pujian "bro, zaman dah maju la, yang ko ni kolot sgt sebab apa?". Kalau tak ditegur, nanti di alam satu lagi free free dia cakap "dulu saya berpelukan dengan si minah tu, dia nampak tapi dia tak tegur saya".

Lumrah dunia kan. Saya pun bukanlah insan yang berpendidikan agama yang tinggi, jauh sekali jika dibandingkan dengan ustaz-ustaz, tapi sebagai muslim seharusnya tanggungjawab itu saya laksanakan. Sama lebih kurang macam dalam drama melayu yang berkonsepkan ala-ala Islamik bilamana si ibu atau ayah menegur pakaian anak perempuan yang agak seksi, dengan lantang perempuan tu akan cakap "ni fesyen la ayah,zaman moden dah ni" takpun akan cakap "ish rimas la pakai tutup sana sini, kolot!"

Kolotkah? kalau ikut peredaran sejarah yang dicanangkan oleh negara barat sendiri, dulu manusia pakaian dia daun ja, la ni pun ada lagi yang pakai tutup ala kadar macam tu, tak cay pi tengok kat hutan Amazon tu. Pastu pelan-pelan manusia belajar untuk mencipta baju, menutup badan dengan sempurna sebab perasaan malu itu wujud. Tapi la ni, dah balik kepada zaman batu dulu dah...dedah sana sini dan kalau boleh kalau pakai baju pun, nak ketat-ketat bagi nampak semua benda tu ang lebih kurang sama kalau berbogel. Lelaki pulak dok bertindik sana sini kononnya nampak hebat. Pegi jalan-jalan pun pakai seluar pendek kononnya baru nampak style! tapi kalau dah muslim tu, pakai seluar pendek tu macam mana la nak pi solat bila masuk waktu.

Sekadar ingatan untuk diri saya sendiri, kita sudah diajar tatatertib berpakaian, tatatertib dalam perhubungan sesama insan dan lain-lain lagi. Jadi kalau dah tahu semua tu kenapa nak buat lagi? Nak peluk boleh, tapi pi la menikah kalau gatai sangat. Kalau tak cukup duit dijadikan alasan, pi ja ajak family untuk nikahkn pastu buat majlis kesyukuran sikit. Tak payah nak buat grand-grand sebab duit tak cukup. Ha kan lagi bagus tu, dapat jalankan pernikahan dalam keadaan sederhana dan tidak membazir. Kita sedar sebenarnya sesuatu yang dibuat tu salah atau tidak. Cuma last-last terpulang kat diri sendiri nak bawa bekalan yang jenis macam mana bila pergi ke alam yang kekal abadi nanti. Sama jugak dengan orang yang suka forward masej la, sms la, apa apa ja masej forward yang bunyi untuk mengajak kearah kebaikan. Sebagai contoh masej untuk sentiasa berselawat kepada Baginda Rasullullah s.a.w. Masej tu bagus, niat bagus, tapi dah kalau yang hantaq tu pakai baju T ketat, rambut kaler besi karat, tak ka nampak macam pelik kat situ?

Yup memang betul pun kata Dr M iaitu melayu mudah lupa, jadi sebab kita ni mudah lupa, sama-samalah kita saling ingat meningatkan. Jagalah pergaulan sesama insan dan yang paling penting untuk menjaga kesucian hati. Kalau hati bersih Insyaallah yang lain-lain akan turut mengikuti.